Punca Sumbing

Akhir-akhir ini jarang kita dengar atau lihat kanak-kanak yang ada bibir atau lelangit sumbing. Sebenarnya masih ada bayi dilahirkan dengan masalah ini, tetapi biasanya mereka menjalani pembedahan pembetulan untuk membentuk bibir atau lelangit yang sempurna.

Sumbing berlaku pada bibir atas yang menyebabkan bibir ini ‘terbelah’. Bibir normal terbentuk apabila dua cebis tisu yang ‘tumbuh’ dari bahagian tepi muka bercantum dengan cebisan tisu di bahagian tengah yang ‘tumbuh’ ke bawah dari hujung hidung. Proses gabungan ini berlaku pada empat hingga enam minggu kehamilan.

Jika gabungan ini tidak lengkap, bayi akan lahir dengan bibir sumbing. Ada dua jenis sumbing iaitu:
  • Sumbing lengkap, iaitu apabila belahan ini berpanjangan hingga ke hidung
  • Sumbing tidak lengkap, iaitu hanya pada bibir dan tidak membabitkan hidung.
Bayi juga boleh mengalami sumbing lelangit iaitu belahan atau rekahan pada lelangit atas. Dalam lapan minggu pertama kehamilan, biasanya tulang dan tisu tumbuh ke dalam dari tepi rahang, kemudian bercantum di tengah dan membentuk lelangit. Lelangit atas juga secara tidak langsung menjadi lantai bagi hidung.

Sumbing lelangit berlaku apabila berlaku apabila kedua-dua belah tisu tidak bercantum dengan sempurna, menyebabkan pembentukan rekahan di antara mulut dan hidung.

Apa menyebabkan bibir dan lelangit sumbing?
Sehingga kini tiada siapa tahu sebabnya. Kadangkala masalah ini berlaku dalam keluarga yang tiada sejarah sumbing. Namun, perkara ini berlaku membabitkan seorang atau beberapa ahli kelurga dan keadaan ini dipanggil sumbing kelurga. Sumbing bibir dan lelangit boleh berlaku sendiri atau dalam sesetengah kes berkaitan dengan masalah lain.

Rawatan

Rawatan biasanya diberi kepada bayi atau kanak-kanak ketika mereka kecil. Jumlah rawatan bergantung kepada keadaan setiap kanak-kanak ketika dilahirkan.

Bagi sumbing bibir yang kecil, hanya satu prosedur pembedahan diperlukan dalam beberapa bulan pertama selepas bayi dilahirkan.

Jika sumbing itu besar (membabitkan bibir dan lelangit), kanak-kanak itu biasanya memerlukan beberapa siri pembedahan dan rawatan berpanjangan daripada sekumpulan pakar perubatan yang membabitkan pakar bunyi (audiologi); gigi; pakar bedah telinga, hidung dan tekak; pakar bedah mulut dan rahang; pakar bedah plastik, pakar kanak-kanak serta patologi pertuturan.

Kanak-kanak sumbing lelangit akan berjumpa kumpulan pakar disebut di atas dari lahir hinggalah proses perkembangan muka mereka berakhir – biasanya pada lewat usia remaja.

Perkembangan teknologi pembedahan membolehkan kanak-kanak yang ada masalah sumbing bibir dan lelangit menerima rawatan lebih baik, terutama dalam tempoh 10 hingga 20 tahun kebelakangan ini.

Menyusukan anak

Untuk menyusu, bayi perlu meletakkan bibir dan lidah di keliling putting susu ibu atau botol. Ini membolehkan mereka menekap dan menghisap susu dengan baik. Apabila dilahirkan dengan masalah sumbing bibir dan lelangit, proses menghisap susu menjadi sukar.

Walaupun bayi yang sumbing bibir dan lelangit kelihatan boleh menyusu seperti kanak-kanak normal, kebanyakkan tidak dapat menghisap puting.

Malah dalam sesetengah keadaan, proses penyusuan mengambil masa panjang (lebih 40 minit) dan meletihkan, tetapi bayi tetap tidak mendapat susu secukupnya untuk membesar dan berkembang dengan baik.

Namun, usah bimbang, beberapa cara boleh dilakukan untuk membantu bayi anda menyusu. Sesetengah bayi mengalami sumbing kecil pada hujung lelangit di dalam mulut (lelangit lembut). Bayi begini boleh menghisap puting sebaik bayi normal dan penyusuan biasanya selesai dalam tempoh 20 hingga 30 minit.

Bayi yang mengalami kedua-dua masalah (sumbing bibir dan lelangit) juga tidak boleh menghisap puting (sama seperti bayi sumbing lelangit). Malah, mereka sukar menekap mulut dan lidah di keliling putting. Tekapan ini membantu bayi menolak susu ibu keluar atau botol susu. Bayi dalam kumpulan ini perlu bantuan menyusu.

Antara kesukaran yang dialami ialah:
  • Susu keluar dari hidung ketika disusukan (regurgitasi hidung), terutama jika aliran susu dari puting cepat dan banyak
  • Masuk angin dan perlu kerap disendawakan
  • Batuk dan susu yang diberi terluah balik
  • Proses penyusuan menjadi perlahan
  • Sukar mencapai berat badan sesuai dengan umur

Membantu bayi menyusu

Penyusuan badan

Walaupun bayi sukar menyusu sendiri, anda boleh dakap bayi untuk membentuk ikatan antara ibu dna anak. Kadangkala mereka boleh membuatkan susu keluar dengan menekap rahang pada payudara ibu.

Penyusuan botol
Jika bayi boleh menyusu menggunakan botol susu biasa, tidak perlu membeli peralatan khas lain. Banyak puting susu khas boleh dibeli bagi membantu bayi yang tidak mampu menghisap puting dengan baik. Ada puting boleh dipicit ketika bayi menghisapnya. Puting khas ini biasanya ada satu ‘injap’ yang memastikan ia sentiasa penuh. Ia sangat berguna bagi bayi yang boleh menekan mulut ke putting tetapi tidak dapat menghisapnya. Puting ini juga biasanya ada belahan berpangkah (silang) dan bukan lubang seperti puting biasa. Ia untuk mengelak susu menitik ke dalam mulut bayi.

Setiap bayi adalah unik dan berbeza. Jadi ibu perlu melakukan pendekatan berbeza walaupun anak mengalami masalah sama dengan anak orang lain. Bagaimanapun, panduan umum di bawah mungkin boleh membantu.
Susukan bayi dalam persekitaran sunyi dan selesa. Dudukkan mereka di bangku selesa
Pastikan bayi duduk dalam keadaan tegak ketika menyusu. Ini boleh mengelak susu terkeluar dari hidung. Rapatkan kedudukan bayi dengan anda supaya anda boleh memberi sokongan kepada badan bayi ketika menyusu.
  • Susukan bayi dengan botol yang boleh dipicit dan puting ada belahan berpangkah. Atau gunakan alat penyusuan khas lain. Elak meletakkan puting pada bahagian sumbing.
  • Sebaik bayi mula menghisap, picit botol untuk menolak susu memasuki mulutnya. Satu picitan biasanya cukup untuk tiga atau empat hisapan, tetapi anda perlu membuat eksperimen terhadap bayi. Sesetengah ibu membuat latihan memicit botol susu dengan memasukkan air kosong bagi mengetahui kadar pengeluaran susu dengan tahap picitan berbeza.
  • Lihat bagaimana reaksi anak apabila botol susu dipicit atau dihentikan picitan agak lama. Jika ia kelihatan tidak selesa atau tidak boleh menerima susu yang penuh dalam mulut.
  • Berhenti rehat untuk sendawakan anak. Anak yang sumbing bibir dan lelangit kerap masuk angin.
  • Pastikan proses penyusuan selama 20 hingga 30 minit saja. Jika terlalu lama, bayi akan penat.
  • Bayi anda boleh kehilangan sehingga 10 peratus berat badan ketika lahir, tetapi berat ini bertambah semula dalam masa dua hingga tiga minggu. Jika bayi menggunakan lima hingga enam lampin sehari dan buang air secara teratur, bermakna dia menerima cukup susu.
  • Jika bayi anda kerap tercekik atau tersedak ketika disusukan, bermakna mereka memerlukan bantuan.
Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya
Dr Syed Nazir Syed Kadir

Bagaimana cara untuk tambahkan susu badan dengan Shaklee???? klik SINI


Info lanjut dan Order, boleh hubungi saya;

Mashitah Mamat [Syitah]
Shaklee Independent Distributor [ID: 881842]
SMS|WhatsApp|LINE: 0193121609
Emel : honeyonnee@gmail.com
PM Facebook : Mashitah Mamat

No comments

Tegurlah, Bukan Menghukum . Sayangilah, Bukan Menfitnah
Maafkanlah, Bukan Membenci . Mudahkanlah, Bukan Menyusah
Jadi, Saling Ingat Memperingatilah . Kerana Kita Mudah Lupa & Alpa